LATAR BELAKANG PROGRAM AMAL WALK4GAZA

PENDAHULUAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang aman dan harmoni walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya merasa bertuah dan bersyukur kerana berada di sebuah tanahair yang bebas merdeka dan dapat menikmati keselesaan kehidupan tanpa sebarang sekatan dan halangan.

Namun, di saat menikmati kehidupan yang harmoni ini seharusnya juga kita melihat kepada sesetengah rakyat negara lain yang masih merintis dalam sejuta kepayahan dan kesusahan bagi memperjuangkan tanahair sendiri, ancaman bencana alam, peperangan dan sebagainya.

Sejarah dunia menyaksikan lebih enam dekad rakyat Palestin hidup sebagai pelarian di bumi sendiri. Mereka tidak mempunyai cara lain untuk berjuang dan mendapatkan kembali bumi mereka. Rakyat Palestin ditindas, dihina dan dikenakan pelbagai sekatan di tanahair sendiri. Tetapi perjuangan warga Palestin untuk mendapatkan tanah air mereka kembali tidak akan berakhir. Sebaliknya, ia melahirkan sesuatu yang baru dan negara Barat memilih untuk menamakannya sebagai keganasan.

Musuh masyarakat Palestin menyangka mereka boleh memadamkan semangat warga Palestin, itu adalah tanggapan yang salah sama sekali. Masyarakat Palestin tidak pernah menyerah, sebaliknya semangat mereka bertambah kuat dari sebelumnya.

Baitulmaqdis yang dikenali sebagai Al-Quds merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam. Ia menjadi kiblat pertama umat Islam dan merupakan tanah yang diturunkan ramai para Nabi sebagai utusan. Kota itu juga dianggap sebagai kota suci bagi penganut agama Kristian dan Yahudi.

Konflik Asia Barat bermula pada 1967 apabila Israel menyerang Palestin dan menawan Baitulmaqdis. Israel turut merampas tanah rakyat Palestin di Baitulmaqdis termasuk kota lama yang menempatkan Masjid al-Aqsa.

Membebaskan Baitulmaqdis bererti mengembalikan bumi Palestin kepada warga Palestin. Kita perlu menjelaskan kepada masyarakat dunia bahawa tidak ada pihak yang boleh menghalang rakyat Palestin daripada hidup secara aman di tanah air mereka sendiri seperti apa yang kita nikmati di bumi Malaysia ini.

Kita mempunyai peranan yang besar, walaupun tanpa perlu mengangkat kaki melangkah ke bumi Gaza. Lakukanlah segala pertolongan dan bantuan semaksima yang boleh agar kita tergolong dari kalangan mereka yang berjuang mempertahankan bumi Palestin, bumi wakaf umat Islam yang ditinggalkan oleh pejuang terdahulu untuk kita bebaskan dari kekejaman. Yakinlah bahawa kita semua akan disoal di akhirat kelak. Rugilah kita jika hanya mendengar dan melihat tanpa disusuli dengan tindakan yang bersungguh-sungguh!

Renungkanlah ayat berikut sebagai amaran dan motivasi kepada kita :

“Dan infaqkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu; lalu dia berkata (menyesali), ‘Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedeqah dan aku termasuk orang-orang yang soleh.’” [Surah Al-Munaafiqun ayat ke-10]

Justeru, penganjuran program ini adalah untuk menunjukkan keprihatinan kita sebagai rakyat Malaysia yang mengutuk keras sebarang kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas penduduk Gaza.

Program "Walk4Gaza : Jejak Iktiraf Kemanusiaan Untuk Gaza” sebagai keprihatinan kita untuk kelangsungan kehidupan masyarakat Gaza.


OBJEKTIF

1- Menunjukkan kepada masyarakat dunia tentang keprihatinan rakyat Malaysia terhadap sebarang sekatan, kezaliman, kekejaman dan pencerobohan yang dilakukan Israel ke atas penduduk Palestin

2- Memberi kesedaran dan menjadikan rakyat Malaysia sebagai warga yang prihatin tentang segala isu kemanusiaan

3- Mengumpul dana dan sumbangan untuk disalurkan kepada misi kemanusiaan untuk masyarakat Gaza

4- Menyahut seruan murni pihak kerajaan dalam usaha membantu mereka yang memerlukan

5- Mensyukuri nikmat dilahirkan sebagai rakyat Malaysia


PENGANJURAN PROGRAM

Program ini adalah anjuran bersama MBFM dan GAPROF dengan kerjasama :
Perdana Peace Global Foundation (PGPF), MBM, PERSADA, Putrajaya Holding Bhd, Skuad Sayang Wanita Malaysia, PERKIM, UPM, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Lim Kok Wing, Gabungan NGO Malaysia, AMAN MALAYSIA, PEWARIS, KARYAWAN, Agensi kerajaan, swasta dan NGO


PERASMI PELEPASAN

YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamed
Presiden
Perdana Global Peace Foundation (PGPF)


PAKAIAN

Para peserta digalakkan berpakaian sukan dan memakai baju bewarna putih


TEMPAT DAN TARIKH

Program ini akan diadakan pada 11hb. Disember 2010 (Sabtu) bermula jam 5.00 petang bermula di Dataran Masjid Putrajaya sehingga ke Dataran Pancarona (hadapan Mahkamah Putrajaya)


SASARAN PESERTA

Sasaran peserta yang akan mengikuti program ini adalah seramai 10,000 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, kaum, agama, bangsa dan negara. Mereka akan diiringi oleh 400 orang peserta kompang.


ATURCARA PROGRAM

Kaunter pendaftaran dan kutipan sumbangan akan bermula pada Hari Jumaat (10.12.10) sehingga Hari Sabtu (11.12.10)

JADUAL HARI SABTU, 11.12.2010

4.25 petang : Solat Asar Berjemaah
5.00 petang : Bacaan Doa dan
Ucapan oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamed
5.15 petang : Pelepasan Big Walk For Gaza
6.15 petang : Dijangka tiba di Dataran Pancarona, Putrajaya
Tandatangan Menyokong Kebebasan Bumi Gaza

No comments:

Post a Comment